January 28, 2011

10 Sebab Restoren Mamak Lebih Maju Dari Restoren Melayu

Antara kegemaranku ialah lepak-lepak pekena teh tarik & roti telur di restoren mamak. Kebiasaannya selepas balik dari kerja (especially jika esoknya cuti seperti hari Jumaat atau hari sebelum cuti umum). Dalam seronok memerhatikan gelagat orang ramai di restoren tersebut aku mula terfikirkan sesuatu.

Biarpun harga makanan di kedai mamak lebih mahal daripada restoren-restoren Melayu namun itu tidak menjadi penghalang untuk kita berkunjung kesana. Apakah faktor-faktor yang menjadi pendorong kepada kita untuk berkunjung ke kedai mamak? Dibawah ini aku paparkan sebahagian dari sebabnya melalui pandangan peribadiku sendiri terutamanya setelah berkali-kali mengalami sakit hati ketika berkunjung ke restoren Melayu:

  1. Restoren-restoren mamak jarang sekali (bahkan belum pernah dalam pengalaman aku) bertanya pelanggan wang kecil setiap kali pembayaran dilakukan. Ini amat berbeza sekali dengan peniaga Melayu yang cukup 'pantang' melihat wang besar (RM50 misalnya) maka akan terus bertanya pelanggan wang kecil. Ini satu sikap yang boleh dianggap menyakitkan hati dan memualkan. Jika pelanggan menyerahkan wang besar, memang kebiasaanya adalah kerana dia tidak mempunyai wang kecil, jadi tidak perlulah peniaga membuang masa bertanya soalan itu lagi.


  2. Para pelayan di kedai mamak walaupun majoritinya orang asing namun mereka dilatih dengan professional. Setiap pelanggan yang datang akan dilayan secepat mungkin. Berbeza sekali dengan peniaga Melayu yang kadangkala perlu ditunggu sehingga 10 minit hanya sekadar untuk mengambil order. Itu belum dikira lagi pesanan yang lambat sampai. Bagi pelanggan yang penyabar mungkin mereka masih menunggu juga untuk dilayan, namun bagi pelanggan yang mementingkan kecepatan layanan, mereka akan segera beredar ke kedai lain. Apapun jenis sikap pelanggan samada penyabar atau tidak, layanan lemah seperti ini tidak akan menarik mereka untuk datang lagi.


  3. Faktor keselesaan juga amat dititikberatkan oleh peniaga kedai mamak. Kedai atau restoren mereka sentiasa dalam keadaan bersih. Pinggan mangkuk yang digunakan pelanggan akan terus dikutip sebaik sahaja pelanggan beredar. Bagi kebanyakan peniaga Melayu pula, adakalanya sampai pelanggan baru sudah duduk beberapa minit pun pinggan mangkuk masih dibiarkan bersepah di atas meja.


  4. Pelayan kedai mamak amat memahami kehendak dan pesanan pelanggan. Jarang sekali untuk mereka membawa pesanan yang salah walaupun kadangkala tanpa menulis pesanan pun. Kalaupun pesanan itu salah dihantar ianya akan ditukar segera tanpa banyak soal apabila pelanggan menegur. Lain cerita pula dengan pelayan restoren Melayu. Kerapkali apabila pelanggan ramai, kebarangkalian untuk pesanan yang salah dihantar amat tinggi. Walaupun pesanan yang dibuat ditulis berjela diatas kertas tapi akhirnya pesanan yang dihantar ibarat itik menulis arnab membaca.


  5. Salah satu sikap yang paling saya gemari ketika bertandang ke kedai mamak ialah, sukar untuk kita mendengar mereka menyebut perkataan tiada atau sudah habis. Setiap apa yang terpampang didalam menu mereka memang itulah yang dijual. Sebaliknya peniaga melayu adakalanya hampir semua pesanan yang diminta sudah habis atau bahan tidak cukup. Lebih menyakitkan hati apabila benda yang ditulis dalam menu langsung tidak dijual pun. Ini berlaku selalunya disebabkan kedai itu diambil alih dari peniaga lama ataupun menu asal yang tidak lagi dijual tetapi malas untuk dipadamkan.



  6. Kedai mamak juga boleh dianggap sentiasa dibuka samada 24 jam ataupun hampir 24 jam, bahkan hampir 365 hari setahun. Kedai Melayu pula boleh dianggap sentiasa ditutup pada cuti umum bahkan cuti hujung minggu sekalipun. Di saat orang ramai ingin makan beramai-ramai bersama ahli keluarga disaat itu jugalah mereka tidak membuka kedai. Maka, apa pilihan yang ada? Lu pikirlah sendiri.


  7. Majikan kedai mamak juga amat tegas dan bijak melatih pekerja mereka. Setiap pelanggan yang masih belum menerima pesanan mereka dalam tempoh masa tertentu akan segera dipantau tanpa perlu menunggu pelanggan bersungut. Kedai Melayu? Mmm..tak perlulah dicakap. Bos dengan pekerja sama ja naik...


  8. Sistem kerja pelayan kedai mamak juga amat teratur. Bermula dari pesanan diambil sehinggalah pesanan diterima, ianya diuruskan oleh seorang pelayan. Bahkan mereka juga mengamalkan sistem jagaan kawasan, yang mana setiap pelayan mempunyai kawasan jagaan mereka (namun tidak pula terhad disitu). Dengan cara ini mereka sentiasa memerhatikan jika ada pelanggan baru masuk atau pun ada yang ingin membuat pesanan tambahan. Manakala kedai Melayu adakalanya yang mengambil pesanan orang lain, yang menghantar makanan orang lain, dan menghantar minuman juga orang lain. Kesannya, apabila terdapat kesalahan pesanan yang dihantar mereka menjadi keliru dan tidak faham apa yang diinginkan.


  9. Hampir kesemua pelayan di kedai mamak tahu harga barangan yang dijual dikedai mereka. Baik tukang buat air, pembuat roti canai, pelayan dan tentu sekali penjaga kaunter. Setiap pesanan yang dibuat sudah dikira harganya dari awal-awal dan pelanggan hanya perlu membawa resit ke kaunter. Sebaliknya kedai Melayu, pesanan yang disalin berjela-jela tidak terus dikira dari awal. Tambahan pula selalunya yang mengambil pesanan tidak tahu harga dan perlu merujuk kepada rakan mereka. Yang paling teruk sekali, pesanan yang disalin berjela-jela itu hanyalah sekadar untuk rujukan tukang masak dan tidak diserahkan ke kaunter. Akibatnya pelanggan perlu menyebut semula satu persatu pesanan mereka di kaunter pembayaran. Bayangkan jika pelanggan datang beramai-ramai menjamu selera bersama sanak-saudara???


  10. Akhir sekali, kedai mamak amat bijak untuk menarik pelanggan. Sikap mesra pelayan dan kecekapan mereka sudah cukup membuat pelanggan sanggup berkunjung lagi. Selain itu mereka juga bijak menilai kemahuan pelanggan. Misalnya menyediakan skrin besar dan menayangkan perlawanan bola sepak yang mempunyai ribuan penonton seluruh negara. Selain itu, suasana restoren juga dipertingkatkan dari masa ke semasa agar pelanggan sentiasa tertarik hati untuk berkunjung. Bagi peniaga Melayu, mereka lebih bersikap asal ada. Asal ada pelanggan yang datang sudah dikira bagus. Tanpa ingin berusaha menambah bilangan pelanggan. Kemudahan seperti tempat basuh tangan, kipas angin, susun atur kerusi meja kadangkala begitu daif dan tidak dititikberatkan. 

Coretan di atas hanyalah sebahagian daripada sebab mengapa rakyat Malaysia menggemari kedai mamak. Terdapat pelbagai sebab lain lagi yang mungkin boleh dikongsikan oleh para pembaca disini. Pandangan serta pendapat pembaca amat saya alu-alukan.

p/s: Walaupun memuji kedai mamak tidak bermakna aku memboikot restoren melayu. Terdapat juga restoren-restoren melayu yang kalaupun tidak lebih, setanding dengan restoren mamak. Apa yang penting baik melayu mahupun mamak kedua-duanya Islam. Orang Islam sahaja yang dapat memajukan umat Islam sendiri. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...