April 1, 2011

Rokok Oh Rokok...

Tak ada cerita terbaru nak aku kongsikan. Sempena masa terluang ini aku selitkan pengalaman aku beberapa purnama yang lampau.

Seperti kebiasaan, semenjak bekerja di BM aku kerap jugakla makan tengah hari di kedai mamak pada hari Jumaat (sebab dekat dengan masjid) sementara menantikan masuk waktu. Masa nak masuk kedai sekali tu adala sempat 'terjeling' kat sorang gadis cantik yang berdiri dekat kaunter pembayaran. 

Disaat menyantap nasik yang terhidang depan mata, sekali-sekala aku melihat juga ke arah kaunter pembayaran tersebut. Walaupun gadis tersebut cantik, ditambah pula dengan pakaian yang agak kurang kainnya di sesetengah bahagian, namun bukan itu yang menarik perhatianku (cewah....kononla haha). Tetapi yang menimbulkan tanda tanya dan kehairanan di benak mindaku ini (fuh...terasa cam A.Samad Said la plak), semenjak beberapa tahun mengunjungi cawangan-cawangan restoren ini belum pernah aku melihat seorang gadis bekerja disitu. Apatah lagi dia tidak menggunakan uniform rasmi 'bunga-bunga' kedai mamak terbabit. Jadi persoalannya...Apakah yang beliau lakukan berdiri di situ???? Jeng..jeng...jeng....

Beberapa ketika kemudian datang seorang pemuda buatan luar negara beruniform 'bunga-bunga' berdiri di belakang kaunter pembayaran. Sahhh....itulah cashier sebenarnya. Jadi gadis terbabit bukanlah cashier, namun masih juga berdiri bersebelahan brother oversea terbabit. Hasil teknik risikan, pandang-pandang, jeling-jeling sambil dicover dengan kunyahan ayam goreng saiz gajah...aku akhirnya berjaya menangkap apa yang beliau lakukan disitu sebaik sahaja terpandang akan kotak yang ditunjukkannya pada setiap pelanggan yang ingin membuat bayaran di kaunter.

Aku mula menepuk dahi (melalui teknik bayangan fikiran), seraya berkata uiiiiinaaaaa....(di dalam hati), sampai ketahap begitu sekali teknik pemasaran yang diguna pakai dalam usaha menarik perhatian pelanggan. Aku tidak pasti ianya ada kaitan atau tidak dengan pengumuman kenaikan harga rokok oleh kerajaan pada ketika itu. Adakah pengeluar rokok berasa terdesak ataupun ianya sekadar promosi biasa produk terbaru mereka. Idea yang kedua itu tidak berapa aku terima kerana rokok adalah spesis barang yang termudah dipromosi dalam dunia tanpa perlu pengiklanan yang gah. 

Heyy...itu adalah kenyataan. Dah terang lagi berlighter, mana ada produk racun lain (cth: ubat nyamuk, bygone, ubat gegat dll) yang dilabel membahayakan kesihatan tapi dimasukkan kedalam badan secara sukarela????.

Hampir kesemua kenalanku yang merokok, rata-rata menghabiskan sekurang-kurangnya 2 kotak rokok sehari. Dengan kadar harga semasa RM10.00 sekotak (Aku kurang arif tentang harga dan saiznya, ianya hanya dari pemerhatianku pada label di rak rokok restoren dan kedai-kedai runcit. Mungkin ada yang lebih murah dari itu - dan aku maksudkan rokok lepasan kastam bukannya seludup), bermakna mereka telah menghabiskan sekitar RM20.00 sehari atau lebih kurang RM600.00 sebulan hanya untuk membakar racun didalam badan. Dan yang paling lawaknya, majoriti mereka ini seringkali bersungut tak ada duit, gaji sikit, banyak hutang dan sebagainya sedangkan perbelanjaan rokok mereka mampu membayar instalment kereta (paling tidak pun kereta buatan tempatan boleh lepas). Jadi dimanakah timbulnya masalah kewangan kamu wahai sahabat???

Jika dari perbelanjaan rokok itu disimpan hanya RM500.00 sebulan pun sudah mampu mencecah RM6000.00 setahun. Berapa ramai anda diluar sana yang mampu menyimpan RM6000.00 setahun??? Sila jawab dengan ikhlas.

Jika inginkan lebih hasil boleh melaburkannya kedalam instrumen pelaburan (yang sah) seperti Simpanan Tetap, Saham Amanah dan Tabung Haji. Atau jika anda seorang risk taker boleh mencuba Forex Trading, Bursa Saham mahupun pelaburan emas. Aku memberikan contoh-contoh disini secara terbuka tanpa mengehadkannya kepada yang beragama Islam mahupun tidak. Sebab itu terdapat contoh yang mungkin bercanggah dengan hukum syarak. Walaubagaimanapun....ToTo, Magnum dan sebagainya tidak termasuk dalam kategori pelaburan. Sila fahami dengan jelas konteks pelaburan sebenar. Dan jika inginkan pelaburan akhirat...perbanyakkanlah sedekah jariah (yang penuh ikhlas) moga-moga diberkatiNya.

Dah sampai kehujung karangan ni, akupun tak pasti aku sebenarnya nak bercerita tentang rokok atau tabiat menabung sebenarnya nih. Tapi apa-apa hal pun, ingatlah bahawa biar bagaimana susah pun anda, pasti ada caranya juga untuk anda menyimpan. Tak kiralah banyak atau sikit. Yang penting anda harus mempunyai keazaman yang tinggi. Anda buat...anda dapat...!

Selepas menghabiskan teh ais ku, akupun bergerak ke kaunter pembayaran. Seperti diduga, aku turut dipromosikan sekotak rokok yang akupun dah tak ingat apa jenamanya (tak ambil peduli pun sebenarnya masa tu). Cuma aku ingat dia seperti menyebut keluaran terbaru dan rasa lebih sedap ka hapatah...

Dengan 'machonya' aku sekadar mengangkat telapak tanganku sambil menghulur wang kertas warna merah yang bakal bakinya cuma beberapa sen kepada cashier. Kejadian baki wang seperti ini amat jarang berlaku jika aku makan di kedai yang bukan mamak. Jadinya ini juga salah satu cara yang anda (atau lebih tepat lagi aku) boleh gunakan jika ingin berjimat - jangan makan di restoren mamak (err...selalu-selalu).

Namun cashier tersebut berjaya menarik hatiku apabila dia menjawab kepada gadis tersebut "abang ni tak hisap rokok". Aku hanya tersenyum sambil berlalu pergi ke HONDA Kilas ku yang setia menanti. Ternyata sekali cashier itu bukan sekadar berdiri di kaunter tetapi juga membuat teknik risikan seperti yang aku gunakan, sementelah lagi mukaku yang sering kesana juga mungkin penyebab dia mengenaliku. Seperti yang aku ngomelkan dalam 10 keistimewaan kedai mamak, ternyata biarpun mahal, layanan yang diberikan jauh memuaskan berbanding restoren melayu menyebabkan aku sukar berpisah dengan restoren mamak.

p/s: panjang berjela la plak karangan kalini. terima kasih kepada yang sudi membaca sampai habis.
p/ss: masa naik Honda sempat lagi jeling kat karipap gajah berdekatan

March 4, 2011

Tambahan Simpanan Dinar

Assalam...

Harini aku telah berjaya mendapatkan sekeping lagi 1 Dinar PG beserta 5 keping 1 Dirham Kelantan. Walaupun nyaris-nyaris tak dapat jumpe dealer akibat gangguan 'schedule' namun syukur kami berjaya jumpa berjumpa dan menyelesaikan 'perhitungan' hahaha.

Koleksi Dinar & Dirham dalam simpananku sekarang

Asalnya aku tidak bercadang menambah koleksi dinar dalam masa terdekat. Tetapi apabila memerhatikan pergerakan harga emas yang kian rancak menaik aku bimbang ianya akan sampai satu tahap terlalu mahal untuk aku membelinya. Tidak apalah...berkorban sedikit demi masa depan...Insyaallah.

March 1, 2011

Cara Kira Instalment Loan Kereta

Siang tadi di office sempat melayan keseronokan rakan sekerja yang tengah berkira-kira nak tukar kereta baru. Sambil-sambil membelek kereta kegemaran beliau di internet kami sempat juga membuat kiraan kasar bayaran bulanan yang perlu beliau buat jika membeli mana-mana kereta tersebut.

Terfikir jugak.... dulu sebelum beli kereta aku kurang pasti cara pengiraannya. Lepas dapatkan kereta pertama tu barula dapat confirm cara kiranya.

Mungkin ramai antara anda diluar sana yang dah tahupun cara nak mengira car loan instalment nih. tapi bagi sesapa yang belum tahu sini aku berikan contoh pengiraannya.

February 27, 2011

Negeri Perak bakal lancar Dinar dan Dirham sendiri.

Dinar emas, dirham Perak dilancar esok

IPOH 26 Feb. - Perak akan melancarkan dinar emas serta dirham perak sebagai instrumen pelaburan dan simpanan pada Isnin ini.

Projek hasil kerjasama strategik GoldNet International Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu akan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan GoldNet, pembuatan dinar dan dirham berkualiti tinggi itu melibatkan sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Kangsar iaitu Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd.

"Dinar dan dirham Perak direka secara unik. Jata negeri Perak ditempa di bahagian muka hadapan wang syiling tersebut sementara reka bentuk klasik dinar Islam yang pertama kali digunakan semasa zaman Khalifah Abdul Malik Marwan pula dicetak di bahagian belakang.

"Dinar Perak merupakan wang syiling seberat 4.25 gram 24K emas sementara dirham pula adalah seberat 3 gram 99.9 syiling perak," kata kenyataan tersebut.

February 23, 2011

Sedikit cerita emas hari ini..

Emas kini lebih RM4,284 satu auns

Ketegangan Afrika Utara, Asia Barat pengaruhi harga


HARGA emas meningkat melebihi AS$1,400 (RM4,284) satu auns semalam, pertama kali dalam tempoh hampir tujuh minggu, berikutan ketegangan yang terus memuncak di Afrika Utara dan Asia Barat.


Ketegangan kini merebak dari Mesir dan Tunisia ke negara Asia Barat dan Afrika Utara lain apabila penunjuk perasaan berkumpul membantah pemerintahan pemimpin yang sudah memegang kuasa begitu lama.

Harga emas sesi dagangan semalam naik sehingga AS$1,400.40 (RM5,041.44) satu auns daripada paras AS$1,388.58 (RM4,249.05) satu auns ketika didagangkan di New York Jumaat lalu.


Harga kontrak hadapan emas bagi April naik AS$11.70 (RM35.8) satu auns kepada AS$1,400.30 (RM4,284.91).

“Tidak dapat disangsikan lagi bahawa kenaikan logam berharga itu yang berlaku sejak kebelakangan ini berikutan ketegangan di Asia Barat,” kata Daniel Major, Penganalisis di RBS Global Banking & Markets.

“Jika (pembelian) tidak dibuat menerusi dana dagangan bursa atau di Comex, ia kemungkinan besar dibuat menerusi pasaran dagangan fizikal iaitu pembelian syiling atau jongkong emas kecil, dan saya tidak menolak kemungkinan adanya pembelian lebih besar oleh individu kaya jika dilihat daripada keadaan ketegangan yang belum berkesudahan,” katanya. 
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, semalam berkata revolusi di Tunisia akan menjadi model kepada lain-lain negara yang ingin melakukan pembaharuan politik.

February 21, 2011

Dividen KWSP bagi tahun 2010

Bagi mereka yang berada dialam pekerjaan ini adalah antara maklumat yang diperhatikan saban tahun.....


Kadar dividen sebanyak 5.8% bagi tahun berakhir 2010, peningkatan sebanyak 0.15% berbanding tahun sebelumnya. Tidaklah terlalu banyak, namun lebih baik dari tiada langsung. Bagi mereka yang mempunyai lebihan wang maka sememangnya kepelbagaian portfolio amat digalakkan.

February 20, 2011

Salam Ziarah ke Buku-buku Akaun

Sebentar tadi aku sempat meluangkan masa ‘menziarahi’ buku-buku simpananku. Setelah dibelek-belek dan diperhatikan aku mendapat rumusan seperti berikut:

Baki akaun:
1) Tabung Haji – RM10,000++ last update 14/2/2011
2) ASW2020 – RM3,000++ last update 1/9/2009
3) 1 Dinar PG (sekeping) – RM606.00 harga terkini pada jam 10.30pm
4) Semua buku-buku akaun simpanan lain – jumlah lebih kurang RM1500++

Sedih juga bila difikirkan. Setelah hampir 5 tahun berada di alam pekerjaan ini sahaja yang mampu aku kumpulkan. Itupun sekitar 60-70% daripadanya adalah hasil tabungan aku sejak dari zaman sekolah lagi. Mujurlah kedua ibu bapa aku, terutamanya emak yang sering menyuruh aku dan adik-adik menabung.

Dengan usia hampir mencecah 29 tahun dan ditambah pula dengan masih bujang (still single & available heheh..) nampak gayanya aku perlu berusaha lebih gigih untuk menabung demi kegunaan dihari muka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...