April 1, 2011

Rokok Oh Rokok...

Tak ada cerita terbaru nak aku kongsikan. Sempena masa terluang ini aku selitkan pengalaman aku beberapa purnama yang lampau.

Seperti kebiasaan, semenjak bekerja di BM aku kerap jugakla makan tengah hari di kedai mamak pada hari Jumaat (sebab dekat dengan masjid) sementara menantikan masuk waktu. Masa nak masuk kedai sekali tu adala sempat 'terjeling' kat sorang gadis cantik yang berdiri dekat kaunter pembayaran. 

Disaat menyantap nasik yang terhidang depan mata, sekali-sekala aku melihat juga ke arah kaunter pembayaran tersebut. Walaupun gadis tersebut cantik, ditambah pula dengan pakaian yang agak kurang kainnya di sesetengah bahagian, namun bukan itu yang menarik perhatianku (cewah....kononla haha). Tetapi yang menimbulkan tanda tanya dan kehairanan di benak mindaku ini (fuh...terasa cam A.Samad Said la plak), semenjak beberapa tahun mengunjungi cawangan-cawangan restoren ini belum pernah aku melihat seorang gadis bekerja disitu. Apatah lagi dia tidak menggunakan uniform rasmi 'bunga-bunga' kedai mamak terbabit. Jadi persoalannya...Apakah yang beliau lakukan berdiri di situ???? Jeng..jeng...jeng....

Beberapa ketika kemudian datang seorang pemuda buatan luar negara beruniform 'bunga-bunga' berdiri di belakang kaunter pembayaran. Sahhh....itulah cashier sebenarnya. Jadi gadis terbabit bukanlah cashier, namun masih juga berdiri bersebelahan brother oversea terbabit. Hasil teknik risikan, pandang-pandang, jeling-jeling sambil dicover dengan kunyahan ayam goreng saiz gajah...aku akhirnya berjaya menangkap apa yang beliau lakukan disitu sebaik sahaja terpandang akan kotak yang ditunjukkannya pada setiap pelanggan yang ingin membuat bayaran di kaunter.

Aku mula menepuk dahi (melalui teknik bayangan fikiran), seraya berkata uiiiiinaaaaa....(di dalam hati), sampai ketahap begitu sekali teknik pemasaran yang diguna pakai dalam usaha menarik perhatian pelanggan. Aku tidak pasti ianya ada kaitan atau tidak dengan pengumuman kenaikan harga rokok oleh kerajaan pada ketika itu. Adakah pengeluar rokok berasa terdesak ataupun ianya sekadar promosi biasa produk terbaru mereka. Idea yang kedua itu tidak berapa aku terima kerana rokok adalah spesis barang yang termudah dipromosi dalam dunia tanpa perlu pengiklanan yang gah. 

Heyy...itu adalah kenyataan. Dah terang lagi berlighter, mana ada produk racun lain (cth: ubat nyamuk, bygone, ubat gegat dll) yang dilabel membahayakan kesihatan tapi dimasukkan kedalam badan secara sukarela????.

Hampir kesemua kenalanku yang merokok, rata-rata menghabiskan sekurang-kurangnya 2 kotak rokok sehari. Dengan kadar harga semasa RM10.00 sekotak (Aku kurang arif tentang harga dan saiznya, ianya hanya dari pemerhatianku pada label di rak rokok restoren dan kedai-kedai runcit. Mungkin ada yang lebih murah dari itu - dan aku maksudkan rokok lepasan kastam bukannya seludup), bermakna mereka telah menghabiskan sekitar RM20.00 sehari atau lebih kurang RM600.00 sebulan hanya untuk membakar racun didalam badan. Dan yang paling lawaknya, majoriti mereka ini seringkali bersungut tak ada duit, gaji sikit, banyak hutang dan sebagainya sedangkan perbelanjaan rokok mereka mampu membayar instalment kereta (paling tidak pun kereta buatan tempatan boleh lepas). Jadi dimanakah timbulnya masalah kewangan kamu wahai sahabat???

Jika dari perbelanjaan rokok itu disimpan hanya RM500.00 sebulan pun sudah mampu mencecah RM6000.00 setahun. Berapa ramai anda diluar sana yang mampu menyimpan RM6000.00 setahun??? Sila jawab dengan ikhlas.

Jika inginkan lebih hasil boleh melaburkannya kedalam instrumen pelaburan (yang sah) seperti Simpanan Tetap, Saham Amanah dan Tabung Haji. Atau jika anda seorang risk taker boleh mencuba Forex Trading, Bursa Saham mahupun pelaburan emas. Aku memberikan contoh-contoh disini secara terbuka tanpa mengehadkannya kepada yang beragama Islam mahupun tidak. Sebab itu terdapat contoh yang mungkin bercanggah dengan hukum syarak. Walaubagaimanapun....ToTo, Magnum dan sebagainya tidak termasuk dalam kategori pelaburan. Sila fahami dengan jelas konteks pelaburan sebenar. Dan jika inginkan pelaburan akhirat...perbanyakkanlah sedekah jariah (yang penuh ikhlas) moga-moga diberkatiNya.

Dah sampai kehujung karangan ni, akupun tak pasti aku sebenarnya nak bercerita tentang rokok atau tabiat menabung sebenarnya nih. Tapi apa-apa hal pun, ingatlah bahawa biar bagaimana susah pun anda, pasti ada caranya juga untuk anda menyimpan. Tak kiralah banyak atau sikit. Yang penting anda harus mempunyai keazaman yang tinggi. Anda buat...anda dapat...!

Selepas menghabiskan teh ais ku, akupun bergerak ke kaunter pembayaran. Seperti diduga, aku turut dipromosikan sekotak rokok yang akupun dah tak ingat apa jenamanya (tak ambil peduli pun sebenarnya masa tu). Cuma aku ingat dia seperti menyebut keluaran terbaru dan rasa lebih sedap ka hapatah...

Dengan 'machonya' aku sekadar mengangkat telapak tanganku sambil menghulur wang kertas warna merah yang bakal bakinya cuma beberapa sen kepada cashier. Kejadian baki wang seperti ini amat jarang berlaku jika aku makan di kedai yang bukan mamak. Jadinya ini juga salah satu cara yang anda (atau lebih tepat lagi aku) boleh gunakan jika ingin berjimat - jangan makan di restoren mamak (err...selalu-selalu).

Namun cashier tersebut berjaya menarik hatiku apabila dia menjawab kepada gadis tersebut "abang ni tak hisap rokok". Aku hanya tersenyum sambil berlalu pergi ke HONDA Kilas ku yang setia menanti. Ternyata sekali cashier itu bukan sekadar berdiri di kaunter tetapi juga membuat teknik risikan seperti yang aku gunakan, sementelah lagi mukaku yang sering kesana juga mungkin penyebab dia mengenaliku. Seperti yang aku ngomelkan dalam 10 keistimewaan kedai mamak, ternyata biarpun mahal, layanan yang diberikan jauh memuaskan berbanding restoren melayu menyebabkan aku sukar berpisah dengan restoren mamak.

p/s: panjang berjela la plak karangan kalini. terima kasih kepada yang sudi membaca sampai habis.
p/ss: masa naik Honda sempat lagi jeling kat karipap gajah berdekatan

March 4, 2011

Tambahan Simpanan Dinar

Assalam...

Harini aku telah berjaya mendapatkan sekeping lagi 1 Dinar PG beserta 5 keping 1 Dirham Kelantan. Walaupun nyaris-nyaris tak dapat jumpe dealer akibat gangguan 'schedule' namun syukur kami berjaya jumpa berjumpa dan menyelesaikan 'perhitungan' hahaha.

Koleksi Dinar & Dirham dalam simpananku sekarang

Asalnya aku tidak bercadang menambah koleksi dinar dalam masa terdekat. Tetapi apabila memerhatikan pergerakan harga emas yang kian rancak menaik aku bimbang ianya akan sampai satu tahap terlalu mahal untuk aku membelinya. Tidak apalah...berkorban sedikit demi masa depan...Insyaallah.

March 1, 2011

Cara Kira Instalment Loan Kereta

Siang tadi di office sempat melayan keseronokan rakan sekerja yang tengah berkira-kira nak tukar kereta baru. Sambil-sambil membelek kereta kegemaran beliau di internet kami sempat juga membuat kiraan kasar bayaran bulanan yang perlu beliau buat jika membeli mana-mana kereta tersebut.

Terfikir jugak.... dulu sebelum beli kereta aku kurang pasti cara pengiraannya. Lepas dapatkan kereta pertama tu barula dapat confirm cara kiranya.

Mungkin ramai antara anda diluar sana yang dah tahupun cara nak mengira car loan instalment nih. tapi bagi sesapa yang belum tahu sini aku berikan contoh pengiraannya.

February 27, 2011

Negeri Perak bakal lancar Dinar dan Dirham sendiri.

Dinar emas, dirham Perak dilancar esok

IPOH 26 Feb. - Perak akan melancarkan dinar emas serta dirham perak sebagai instrumen pelaburan dan simpanan pada Isnin ini.

Projek hasil kerjasama strategik GoldNet International Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu akan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan GoldNet, pembuatan dinar dan dirham berkualiti tinggi itu melibatkan sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Kangsar iaitu Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd.

"Dinar dan dirham Perak direka secara unik. Jata negeri Perak ditempa di bahagian muka hadapan wang syiling tersebut sementara reka bentuk klasik dinar Islam yang pertama kali digunakan semasa zaman Khalifah Abdul Malik Marwan pula dicetak di bahagian belakang.

"Dinar Perak merupakan wang syiling seberat 4.25 gram 24K emas sementara dirham pula adalah seberat 3 gram 99.9 syiling perak," kata kenyataan tersebut.

February 23, 2011

Sedikit cerita emas hari ini..

Emas kini lebih RM4,284 satu auns

Ketegangan Afrika Utara, Asia Barat pengaruhi harga


HARGA emas meningkat melebihi AS$1,400 (RM4,284) satu auns semalam, pertama kali dalam tempoh hampir tujuh minggu, berikutan ketegangan yang terus memuncak di Afrika Utara dan Asia Barat.


Ketegangan kini merebak dari Mesir dan Tunisia ke negara Asia Barat dan Afrika Utara lain apabila penunjuk perasaan berkumpul membantah pemerintahan pemimpin yang sudah memegang kuasa begitu lama.

Harga emas sesi dagangan semalam naik sehingga AS$1,400.40 (RM5,041.44) satu auns daripada paras AS$1,388.58 (RM4,249.05) satu auns ketika didagangkan di New York Jumaat lalu.


Harga kontrak hadapan emas bagi April naik AS$11.70 (RM35.8) satu auns kepada AS$1,400.30 (RM4,284.91).

“Tidak dapat disangsikan lagi bahawa kenaikan logam berharga itu yang berlaku sejak kebelakangan ini berikutan ketegangan di Asia Barat,” kata Daniel Major, Penganalisis di RBS Global Banking & Markets.

“Jika (pembelian) tidak dibuat menerusi dana dagangan bursa atau di Comex, ia kemungkinan besar dibuat menerusi pasaran dagangan fizikal iaitu pembelian syiling atau jongkong emas kecil, dan saya tidak menolak kemungkinan adanya pembelian lebih besar oleh individu kaya jika dilihat daripada keadaan ketegangan yang belum berkesudahan,” katanya. 
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, semalam berkata revolusi di Tunisia akan menjadi model kepada lain-lain negara yang ingin melakukan pembaharuan politik.

February 21, 2011

Dividen KWSP bagi tahun 2010

Bagi mereka yang berada dialam pekerjaan ini adalah antara maklumat yang diperhatikan saban tahun.....


Kadar dividen sebanyak 5.8% bagi tahun berakhir 2010, peningkatan sebanyak 0.15% berbanding tahun sebelumnya. Tidaklah terlalu banyak, namun lebih baik dari tiada langsung. Bagi mereka yang mempunyai lebihan wang maka sememangnya kepelbagaian portfolio amat digalakkan.

February 20, 2011

Salam Ziarah ke Buku-buku Akaun

Sebentar tadi aku sempat meluangkan masa ‘menziarahi’ buku-buku simpananku. Setelah dibelek-belek dan diperhatikan aku mendapat rumusan seperti berikut:

Baki akaun:
1) Tabung Haji – RM10,000++ last update 14/2/2011
2) ASW2020 – RM3,000++ last update 1/9/2009
3) 1 Dinar PG (sekeping) – RM606.00 harga terkini pada jam 10.30pm
4) Semua buku-buku akaun simpanan lain – jumlah lebih kurang RM1500++

Sedih juga bila difikirkan. Setelah hampir 5 tahun berada di alam pekerjaan ini sahaja yang mampu aku kumpulkan. Itupun sekitar 60-70% daripadanya adalah hasil tabungan aku sejak dari zaman sekolah lagi. Mujurlah kedua ibu bapa aku, terutamanya emak yang sering menyuruh aku dan adik-adik menabung.

Dengan usia hampir mencecah 29 tahun dan ditambah pula dengan masih bujang (still single & available heheh..) nampak gayanya aku perlu berusaha lebih gigih untuk menabung demi kegunaan dihari muka.

February 11, 2011

EMAS & DINAR

Hahahah….aku sangat teruja hari ini. Setelah beberapa purnama asyik mendengar & membaca baik di media elektronik mahupun media cetak tentang EMAS…ya EMAS!!!! aku akhirnya berjaya membeli sekeping Dinar keluaran Public Gold (PG).

Ya…itu sahaja yang termampu aku beli pada saat ini. Jauh sekali nak dibandingkan dengan otai-otai emas diluar sana yang mungkin sudah berkilo-kilo emas mereka. Namun bagiku ini adalah satu permulaan. Aku berazam untuk cuba mengumpul seberapa banyak dinar dan mungkin juga gold bar pada tahun ini. (bergantung kepada harga pasaran…jika terlalu melonjak naik mungkin aku perlu bersabar seketika)

Dengan harga RM635.00 sekitar jam 6.40 petang tanggal 11hb Februari 2011 hari Jumaat inilah DINAR pertamaku!!!

Aku sertakan gambar disini bagi mereka yang belum pernah melihatnya.


Dinar - Muka Depan

Dinar - Muka Belakang


Insyaallah jika diizinkan Allah aku ingin menambah beberapa keping lagi selepas ini. Sambil-sambil tu ‘mengusha’ emas/dinar keluaran syarikat-syarikat lain jika ada yang menarik hati.

February 5, 2011

Dalam Kabut ada Sinar

Setelah membatalkan niatku untuk melabur dalam bidang ternakan arowana…tiba-tiba minatku beralih kepada benda lain. Satu benda yang agak kerap juga aku terdengar tentangnya dan ada juga terbaca mengenainya.

Namun akibat kurangnya pengetahuan aku agak ragu-ragu untuk membuat langkah seterusnya. Benda yang aku maksudkan disini adalah EMAS. Sememangnya tidak pernah berada dalam fikiranku sebelum ini bagaimana emas boleh menjadi suatu instrumen pelaburan. Sekadar cara konvensional seperti ibu-ibu atau isteri-isteri yang terpaksa menggadaikan barang kemas mereka tatkala tengah ‘sesak’ sahaja yang berada dalam benak fikiranku.

Setelah mengutip serba sedikit maklumat dari pakcik Google dan makcik Yahoo, serta forum-forum seperti Wang Cyber dan Bicarajutawan termasuk juga website Public Gold (PG), Goldcrest Pavilion (GCP) dan saudara Syukor Hashim dapat aku simpulkan bahawa pelaburan emas terbahagi kepada 2 jenis iaitu Buku Akaun dan Emas Fizikal.
  
Atas faktor-faktor syubhah tentang pelaburan dengan buku akaun (kecuali akaun Kuwait Finance House – sila rujuk pada yang lebih arif untuk maklumat lanjut) setelah merujuk Zaharuddin.net maka aku memilih untuk libatkan diri dengan emas fizikal. Walaupun masih kabur-kabur serta ragu-ragu namun memikirkan nasihat orang-orang lama atau Warga EMAS bilang…”tak kenal maka tak cinta” maka ku beranikan diri untuk mencuba.

Kebetulan pula salah seorang sahabat dalam senarai FB ku adalah dealer Public Gold, maka aku bercadang untuk berjumpa dan membeli dari beliau sahaja. Yessss sir…..Tunggu!!!!

February 3, 2011

Batalkan hasrat dihati

Aduhhh…..

Pulang dari kerja tadi aku sangkakan dapat bercuti dengan aman sempena cuti raya cina sekali harung dengan hujung minggu. Tiba-tiba aku mendapat khabar tidak gembira dari adikku. Keretaku yang dipandunya telah dihantam dari belakang.

Mujurlah tidak ada kemalangan jiwa dan kerosakan pun tidak terlalu teruk. Hanya bahagian bamper belakang dan bahagian bawah bonet yang remuk. Esoknya sudah raya cina, malam ni mereka akan makan besar….tidak akan ada pomen yang akan buka kedai (nak cari pomen melayu area penang ni bukan senang). Terpaksalah aku bersabar buat beberapa hari sebelum direpair.

Walaupun agak sedih namun aku mula terfikirkan sesuatu. Ikut perkiraannya aku bercadang untuk berjumpa En. Shaiful arowana samada esok ataupun pada hari Sabtu. Kejadian ini mula menyebabkan aku berfikir seperti ada aral. Setelah berfikir panjang….akhirnya aku membuat keputusan untuk tidak teruskan hasrat melabur dengan arowana ini. Mungkin dilain masa aku tidak pasti…

January 28, 2011

10 Sebab Restoren Mamak Lebih Maju Dari Restoren Melayu

Antara kegemaranku ialah lepak-lepak pekena teh tarik & roti telur di restoren mamak. Kebiasaannya selepas balik dari kerja (especially jika esoknya cuti seperti hari Jumaat atau hari sebelum cuti umum). Dalam seronok memerhatikan gelagat orang ramai di restoren tersebut aku mula terfikirkan sesuatu.

Biarpun harga makanan di kedai mamak lebih mahal daripada restoren-restoren Melayu namun itu tidak menjadi penghalang untuk kita berkunjung kesana. Apakah faktor-faktor yang menjadi pendorong kepada kita untuk berkunjung ke kedai mamak? Dibawah ini aku paparkan sebahagian dari sebabnya melalui pandangan peribadiku sendiri terutamanya setelah berkali-kali mengalami sakit hati ketika berkunjung ke restoren Melayu:

  1. Restoren-restoren mamak jarang sekali (bahkan belum pernah dalam pengalaman aku) bertanya pelanggan wang kecil setiap kali pembayaran dilakukan. Ini amat berbeza sekali dengan peniaga Melayu yang cukup 'pantang' melihat wang besar (RM50 misalnya) maka akan terus bertanya pelanggan wang kecil. Ini satu sikap yang boleh dianggap menyakitkan hati dan memualkan. Jika pelanggan menyerahkan wang besar, memang kebiasaanya adalah kerana dia tidak mempunyai wang kecil, jadi tidak perlulah peniaga membuang masa bertanya soalan itu lagi.


  2. Para pelayan di kedai mamak walaupun majoritinya orang asing namun mereka dilatih dengan professional. Setiap pelanggan yang datang akan dilayan secepat mungkin. Berbeza sekali dengan peniaga Melayu yang kadangkala perlu ditunggu sehingga 10 minit hanya sekadar untuk mengambil order. Itu belum dikira lagi pesanan yang lambat sampai. Bagi pelanggan yang penyabar mungkin mereka masih menunggu juga untuk dilayan, namun bagi pelanggan yang mementingkan kecepatan layanan, mereka akan segera beredar ke kedai lain. Apapun jenis sikap pelanggan samada penyabar atau tidak, layanan lemah seperti ini tidak akan menarik mereka untuk datang lagi.


  3. Faktor keselesaan juga amat dititikberatkan oleh peniaga kedai mamak. Kedai atau restoren mereka sentiasa dalam keadaan bersih. Pinggan mangkuk yang digunakan pelanggan akan terus dikutip sebaik sahaja pelanggan beredar. Bagi kebanyakan peniaga Melayu pula, adakalanya sampai pelanggan baru sudah duduk beberapa minit pun pinggan mangkuk masih dibiarkan bersepah di atas meja.


  4. Pelayan kedai mamak amat memahami kehendak dan pesanan pelanggan. Jarang sekali untuk mereka membawa pesanan yang salah walaupun kadangkala tanpa menulis pesanan pun. Kalaupun pesanan itu salah dihantar ianya akan ditukar segera tanpa banyak soal apabila pelanggan menegur. Lain cerita pula dengan pelayan restoren Melayu. Kerapkali apabila pelanggan ramai, kebarangkalian untuk pesanan yang salah dihantar amat tinggi. Walaupun pesanan yang dibuat ditulis berjela diatas kertas tapi akhirnya pesanan yang dihantar ibarat itik menulis arnab membaca.


  5. Salah satu sikap yang paling saya gemari ketika bertandang ke kedai mamak ialah, sukar untuk kita mendengar mereka menyebut perkataan tiada atau sudah habis. Setiap apa yang terpampang didalam menu mereka memang itulah yang dijual. Sebaliknya peniaga melayu adakalanya hampir semua pesanan yang diminta sudah habis atau bahan tidak cukup. Lebih menyakitkan hati apabila benda yang ditulis dalam menu langsung tidak dijual pun. Ini berlaku selalunya disebabkan kedai itu diambil alih dari peniaga lama ataupun menu asal yang tidak lagi dijual tetapi malas untuk dipadamkan.

January 27, 2011

Keluarkan duit dari Public Mutual

Hari ini aku telah transfer hampir kesemua baki unit pelaburan aku dari akaun Public Mutual – PIADF terus ke akaun Public Bank aku. Duit ni aku nak gunakan sebagai sebahagian daripada jumlah yang ingin dilaburkan ke projek arowana tu…

Masih memikirkan bila masa yang sesuai nak berjumpa dengan En. Shaiful nih. Cadang-cadangnya pada hari Sabtu 5/2/2011 selepas cuti raya cina. Tunggulah samada berhasil atau tidak pertemuan kami.

January 11, 2011

Ikan Oh Ikan

Aku sememangnya sangat suka membela ikan hiasan. Seumur hidup aku entah dah berapa puluh ekor ikan yang aku bela mati kehkehkeh….kesiaaannn…

Antara yang pernah menjadi mangsa belaanku seperti sepat, lampam, guppy, oscar putih, oscar hitam, sepat biru, sepat kuning, arowana silver dan yang wajib ada ikan majlis perbandaran. Namun sekarang yang tinggal cuma 2 ekor oscar hitam dan 2 ekor sepat biru.

Seperti kebanyakan pembela ikan, aku jugak amat tertarik dengan ikan termahal dunia Arowana. Namun disebabkan kemahalannya aku cuma mampu melihat gambar dan kalau adapun aku cuma pernah membela 3 ekor arowana silver namun semuanya menemui ajal. Atas faktor itu serta ketiadaan kemudahan yang lebih baik aku tidak berani membela spesis arowana yang lebih mahal dari silver. 

Namun petang tadi aku sempat berbalas ‘msg’ dengan saudara Shaiful dari Bagan Serai di FB tentang pelaburan ikan arowana/kelisa ini. Sememangnya terdapat banyak syarikat di Bukit Merah yang menawarkan pelaburan namun jumlah minimumnya mampu membuatkan golongan pendapatan sederhana seperti aku terkedu bukan saja lidah bahkan seluruh urat saraf dan jantung hahaha.

Setelah saling berbalas-balas mesej aku mula tertarik dengan pelaburan yang ditawarkan En. Shaiful nih…Kos permulaanya tidaklah terlalu besar (walaupun jenuh jugak aku memikir mana nak cekau duit tu) jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat pelaburan Arowana yang ada. Aku meminta masa untuk berfikir dan sambil-sambil tu mengumpulkan modal.

January 1, 2011

Salam Pembuka Bicara

Yah….bermula kita disini….

Aku bukanlah pakar ekonomi, mahupun ahli perniagaan. Jauh sekali seorang jutawan meliana. Aku seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain yang hidup sederhana, tidak terlalu susah dan tidak pula terlalu mewah.

Sepertimana anda sekalian diluar sana, aku juga tidak terlepas dari hasrat ingin menambah pendapatan bulanan selain berusaha menabung untuk simpanan hari muka. Maka dalam blog ini ianya sekadar catatan kehidupan seharianku dalam usaha mencari pendapatan sampingan sambil menyimpan selain pandangan-pandangan peribadiku yang tidak seberapa tentang ‘ekonomoney’.

Mana yang baik kita jadikan panduan….mana yang tak elok silalah tegur-tegurkan. Sebarang komen atau cadangan dari para pembaca sekalian amat aku alu-alukan.

Sekian dahulu buat permulaan….ketemu lagi dilain siaran.

Wassalam….

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...